Arkib

Archive for the ‘bahan bantu mengajar’ Category

Kanak-Kanak Disleksia – Part 2

10 Mei 2012 7 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat sejahtera di samping insan tercinta. Semoga apa jua yang anda lakukan ketika ini akan mendatangkan manfaat yang besar untuk diri anda dan persekitaran anda. Terima kasih atas kesudian anda untuk mengunjungi laman ini. Maaflah kerana kesibukan diri sebagai pekerja dan pelajar serta tumpuan terhadap keluarga menyukarkan saya untuk mengemas-kini laman ini.

Baiklah, hari ini saya sambung lagi sedikit maklumat berkaitan kanak-kanak disleksia untuk perkongsian ilmiah kita bersama.  Hari ni saya akan kongsikan pula punca-punca yang dikesan terjadinya masalah kesihatan kategori disleksia ini.

Punca terjadinya masalah Disleksia dipercayai akibat daripada cara kerja otak yang berbeza daripada keadaan yang normal. Apabila ujian imbasan dijalankan ke atas penghidap disleksia, pakar mendapati cara otak mereka memproses maklumat agak berbeza daripada kadar biasa dan tidak seperti kanak-kanak normal yang lain.

Perbezaan ini mungkin juga disebabkan oleh kecacatan pada otak yang berlaku semasa bayi masih di dalam kandungan atau pun akibat daripada kemalangan yang melibatkan kecederaan di kepala.

 Antara punca-punca disleksia yang dikesan adalah seperti yang berikut :

 a)    Keturunan atau genetik

Kebanyakan kes, terdapat beberapa ahli keluarga yang mengalami masalah-masalah yang sama. Kemungkinan punca ini boleh diwarisi yang membezakan adalah darjah keterukannya.

Terdapat kajian yang dijalankan telah membuktikan disleksia disebabkan oleh kromosom 15, 1 dan 16 yang boleh diperturunkan secara turun-temurun. Kajian perubatan di barat mendapati kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai latar belakang keluarga yang ada turut  mempunyai penghidap sindrom berkenaan.

  b)    Biologi

 Sejarah kanak-kanak disleksia biasanya adalah semasa dilahirkan tidak cukup bulan, kekurangan oksigen semasa dilahirkan atau kelahiran yang amat sukar. Faktor-faktor ini menjadi punca kelambatan atau ketidak-sempurnaan perkembangan otak dan fizikal kanak-kanak itu sendiri.

Sebahagian daripada kerosakan otak yang menyebabkan kanak-kanak ini mengalami masalah untuk belajar dan kerosakan ini minimum. Mereka lambat berfikir tentang apa yang diperkatakan oleh guru. Mereka juga tidak boleh membuat kesimpulan ringkas tentang isi pelajaran yang disampaikan kerana mereka mengalami kesukaran ini.

 c)    Kematangan

 Terdapat kanak-kanak yang lambat perkembangnya pada bahagian tertentu dalam sistem saraf. Pada kebiasannya kanak-kanak lelaki lambat matang daripada kanak-kanak perempuan. Kelewatan kematangan pada kanak-kanak merupakan salah satu kemungkinan punca disleksia

  d)    Pemakanan

 Pemakanan adalah penting untuk pertumbuhan yang normal. Pemakanan yang cukup dan seimbang akan dapat membekalkan kalori yang mencukupi di samping bahan-bahan makanan yang tertentu seperti protein, zat galian, mineral dan sebagainya. Bekalan kalori yang cukup bergantung kepada fasa pertumbuhan kanak-kanak itu sendiri.

Sekiranya pemakanan tidak mencukupi semasa fasa pertumbuhan kanak-kanak, maka tumbesaran kanak-kanak akan terencat. Contohnya kanak-kanak pada tahun pertama dan pada usia remaja. Mereka mesti mendapatkan kalori, protein dan vitamin yang mencukupi pada fasa pertumbuhan ini. Jika mereka tidak mendapat semua ini secukupnya, kadar pertumbuhan mereka akan terjejas.

sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Admin

Teacher’s Department

Rujukan :

http://www.ceritarasahati2.com/2011/08/27/disleksia-dyslexia-pengenalan-disleksia/

http://www.cikgufais.net/2010/09/kenali-disleksia/

http://ms.wikipedia.org/wiki/Disleksia

 

Mengajar Murid Cara Menulis Part-3

27 Februari 2012 12 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat luaran dan dalaman. Biar apa pun yang anda lakukan ketika ini, akan memberi banyak manfaat terutamanya kepada diri sendiri. Terima kasih atas kesudian anda mengunjungi laman ini.

Hari ini, saya sentuh lagi topik berkaitan kemahiran menulis yang sering kali menjadi dilema para pendidik termasuklah ibu bapa. Mari kita perhatikan gambar di bawah. Apakah yang dapat anda nyatakan daripada cara murid menulis berdasarkan gambar tersebut?

Ini adalah sebahagian murid yang tidak tahu menulis secara mendatar semasa menulis di meja masing-masing. Alasan diberi adalah tulisan tidak sama dengan guru kerana tulisan guru menegak di papan putih, di meja mereka pula secara mendatar.

Perkara ini adalah perkara biasa dan guru perlu sentiasa membiasakan murid menulis di meja masing-masing berbanding menulis seperti cara di atas kerana ia akan memungkinkan kesilapan menulis yang lebih banyak selain melengah-lengahkan masa untuk menyiapkan kerja yang diberi.

sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Admin,

Teacher’s Department

Coming Soon – 2012

16 Disember 2011 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda semua sihat sejahtera di samping rakan-rakan sejawat mahupun keluarga tersayang. Bagi yang sedang bekerja, semoga segala tugas anda dipermudahkan. Terima kasih kepada anda yang masih sudi melayari laman ini. Terima kasih juga saya ucapkan atas kesudian individu-individu yang telah membeli ebook saya yang terdahulu. Untuk makluman semua, setiap RM2 hasil jualan ebook yang anda beli telah saya sumbangkan ke tabung derma insan-insan yang memerlukan. Walaupun jumlahnya tidak banyak, sekurang-kurangnya anda telah menghulurkan sumbangan.

Tahun baru 2012 bakal menjelma. Saya pasti masih ramai murid atau anak-anak yang masih belum bersedia menerima pendidikan yang sepatutnya mereka dapat pada masa cuti sekolah. Jangan biarkan mereka terus ketinggalan dan banyak bermain pada musim cuti sekolah sehingga pelajaran mereka terabai.

Atas kesedaran itu, saya telah menghasilkan sebuah lagi modul pembelajaran pantas khusus untuk murid-murid bagi memastikan jurang tidak boleh menguasai 2M itu dapat dikurangkan.

Akan datang - Modul Pantas Celik Huruf

Segala kandungan akan saya paparkan kelak di dalam lama ini apabila modul ini siap sepenuhnya 100%. Semoga dengan kehadiran modul ini akan menambahkan lagi semangat dan azam semua pendidik untuk memastikan peratus murid LINUS, Pemulihan dan Protim akan dikurangkan.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Lagi Gambar Big Book

6 Disember 2011 5 comments

Salam sejahtera,

Hari ni saya hendak kongsikan beberapa contoh Big Book untuk pelajar LINUS lagi. Big Book ini dihasilkan oleh guru-guru Zon Bangsar dan Pudu.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Bengkel Penulisan Buku LINUS (Big Book)

27 September 2011 4 comments

Bengkel Penulisan Buku (Big Book) LINUS

Bagi Zon Bangsar & Pudu

2011

Tarikh : 28 September 2011

Tempat : Banquet Hall, Aras 1

Kuala Lumpur International Hotel

Masa : 8.00 pagi hingga 4.30 petang

Makluman :

  • Semua Penyelaras Program LINUS diwajibkan menghadiri bengkel tersebut

Sekiranya ada kemusykilan, sila hubungi :

  1. Pn.Sharidah binti Maarus : 03-2031 0695
  2. Pegawai FasiLINUS             : 03-2031 0704

sekian,

Admin

Teacher’ Department

Nota : Makluman mengenai bengkel ini dengan lebih lanjut akan saya laporkan pada 30 September 2011 dalam laman ini.

ISU SEMASA : SAHSIAH GURU

10 Mei 2011 1 komen

Tajuk :

Guru Sunyi Noda Pelajar

Oleh :
Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my

KUANTAN: Mungkin kerana kesunyian akibat berjauhan dengan isteri, seorang guru gagal mengawal nafsunya lalu merogol pelajarnya sendiri berusia 15 tahun selepas mempelawa mangsa datang ke rumahnya dengan alasan mengulang kaji pelajaran.

Kejadian berlaku di rumah guru berusia 33 tahun itu iaitu di kuarters sebuah sekolah menengah di Jerantut pada kira-kira jam 3.30 petang, Khamis lalu.

Menurut sumber, sebelum kejadian guru terbabit dikatakan menghubungi ibu mangsa dan mempelawa mangsa datang ke rumahnya dengan alasan mahu membantunya belajar dan tawaran itu diterima baik ibu mangsa tanpa sebarang prasangka.

Katanya, mangsa pergi ke rumah gurunya itu yang terletak tidak jauh dari rumahnya dengan ditemani rakan, namun rakannya terus pulang selepas menghantarnya.

“Pada mulanya guru itu mengajar mangsa tugasan sekolah, namun dipercayai gagal mengawal nafsunya dan terus memeluk mangsa dari belakang sebelum merogolnya.

sumber : www.hmetro.com.my

p/s : sama-samalah kita renungkan dan berfikir sejenak tentang peristiwa ini.

Kenapa Mesti Permainan?

5 November 2010 2 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda yang sedang melayari laman ini ketika ini berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Tidak kira di mana anda ketika ini, saya sentiasa mendoakan kesejahteraan anda. Semoga hari ini bagi anda adalah antara hari yang terbaik berbanding hari-hari yang sebelumnya. Terima kasih..terima kasih..terima kasih atas kesudian anda melayari laman ini.

Baiklah, hari ini saya ingin berkongsi sedikit maklumat berkaitan sistem pengajaran dan pembelajaran dalam Pemulihan. Mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa sistem pengajaran dan pembelajaran tidak melalui teori semata-mata. Lain pelajar, lain cara belajarnya.

Semasa bertugas di sekolah lama dahulu, saya pernah ditanya oleh Guru Besar  dengan soalan-soalan berikut :

  • Mengapa saya turut berbaring bersama-sama murid semasa belajar?
  • Mengapa kelas berselerak dengan permainan?
  • Mengapa tiada lembaran kerja disediakan untuk murid?

Soalan-soalan ini memang dijangka akan ditanya oleh sesiapa pun yang lalu di hadapan kelas Pemulihan saya ketika itu kerana sistem pembelajaran saya di kelas Pemulihan berbeza dengan kelas-kelas normal yang lain.

Sebenarnya, memang itulah gaya belajar murid di kelas Pemulihan. Saya mengajar mereka mengikut kesesuaian dan cara belajar yang mereka inginkan. Sebagai seorang guru, saya faham tidak semua murid akan menerima pelajaran secara teori, lebih-lebih lagi jika itu murid Pemulihan.

Saya memilih mengajar murid ini melalui teknik permainan. Teknik ini bukan bermain semata-mata. Namun, ada diselitkan unsur pengajaran dan pembelajaran.

Contohnya, permainan DAM ULAR, murid mesti faham peraturan permainan. Kemudian melakukan lontaran untuk menggerakkan buah permainan. Jika mereka tiba di satu tempat, mereka akan diuji dengan satu teka teki sama ada soalan berbentuk ejaan perkataan dalam Bahasa Melayu atau pun soalan dalam bentuk ayat Matematik.

Jika di lihat dari sudut ‘bermain’ semata-mata, memang objektif pengajaran tidak akan tercapai. Tetapi, jika sasaran permainan tersebut sekurang-kurangnya murid dapat mengeja 10 patah perkataan dengan betul, tidak mustahil ianya akan tercapai dengan mudah berbanding meminta murid mengeja perkataan menggunakan kad perkataan.

Menggunakan permainan di kelas Pemulihan ada beberapa risiko yang perlu diketahui.

  1. Peralatan permainan boleh mendatangkan kecederaan
  2. Permainan akan berselerak di merata tempat dalam kelas
  3. Suasana bising menyelubungi kelas

Semua risiko ini boleh dielakkan apabila guru mengamalkan sistem kawalan kelas yang baik dan sempurna. Sentiasa memberi peringatan kepada murid akan peraturan sebelum, semasa dan selepas permainan.

INFO :

TAHUKAH ANDA??, Kajian tentang interaksi dalam kelas oleh Ned Flanders (1963) dan Wragg (1973) mendapati :

  • 2/3 daripada semua pelajaran adalah percakapan guru.
  • 2/3 daripada masa percakapan itu adalah percakapan guru.
  • 2/3  daripada percakapan guru adalah dalam bentuk syarahan.

Dalam kelas Pemulihan, jika guru banyak bercakap, tidak banyak perkara dapat dilakukan dalam tempoh 60 minit waktu mengajar. Kebanyakan murid pula akan bosan dan mengantuk.

 

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

Mengajar Murid Kemahiran Vokal Berganding

18 Oktober 2010 26 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera. Semoga hari ini merupakan antara hari yang paling cemerlang dalam hidup anda.

Terima kasih kerana terus melayari laman ini. Saya selaku penulis blog ini amat menghargainya.Terima kasih juga diucapkan kepada pembeli-pembeli ebook saya. Insyaallah, jika tiada aral, lewat hujung tahun ini saya akan melancarkan sebuah lagi ebook yang berkaitan dengan dunia pendidikan Pemulihan. Insyaallah.

Baiklah, hari ini saya hendak berkongsi mengajar kemahiran vokal berganding dengan anda. Sebagaimana yang diketahui, kemahiran ini agak sukar dikuasai murid jika konsep mengeja yang diajar tidak dapat difahami dengan jelas oleh murid.

Bahan Bantu Mengajar – kemahiran vokal berganding

  • Kad perkataan mengandungi vokal berganding.
  • permainan – Dadu
  • Kad imbasan bergambar
  • lembaran kerja :
  1. lembaran kerja – memadan perkataan dengan gambar
  2. lembaran kerja  – menulis vokal berganding berpandukan gambar
  3. lembaran kerja – mencari perkataan tersembunyi

Panduan Mengajar :

  1. Tunjukkan salah satu gambar daripada kad imbasan dan minta murid sebutkan nama gambar. Sila lihat contoh di bawah :
  2. Guru rangsang murid untuk menyebut nama gambar yang dilihat.
  3. Murid akan memberi jawapan iaitu : buah durian
  4. Tunjukkan kad perkataan bagi : durian
  5. Bimbing murid konsep eja perkataan ‘durian’ menggunakan kad suku  yang dipecahkan kepada suku kata berwarna. Lihat contoh di bawah : 
  6. Kemudian, minta murid eja sendiri perkataan mengikut suku kata.
  7. Jika sudah boleh, tunjukkan kad perkataan (gabungan suku kata pertama dan kedua tadi). Lihat contoh di bawah :
  8. Rangsang murid untuk mengeja dan membatang perkataan ini secara kumpulan dan individu.
  9. Tunjukkan kad imbasan bergambar yang lain dan ulang langkah di atas.
  10. Edarkan lembaran kerja kepada setiap murid.
  11. Pantau aktiviti murid semasa lembaran kerja di edarkan.
  12. Semak latihan murid melalui perbincangan
  13. Edarkan permainan bahasa berbentuk dadu ( dadu mengandungi vokal berganding pada setiap muka)

Sekian,
NORHAIDI BIN HJ SARPONEN
Teacher’s Department

Program LITERASI : Mengajar Murid Kemahiran KV+KVK

29 Julai 2010 2 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda sentiasa sihat dan ceria sentiasa. Terima kasih kerana anda terus mengunjungi laman ini.

Hari ini saya ingin berkongsi panduan mengajar murid kuasai kemahiran KV+KVK. Terlebih dahulu, panduan yang saya guna ini berdasarkan Modul Pendidikan Pemulihan yang saya bina sendiri. Justeru, jika ada penerangan yang anda rasakan tidak relevan dan sangat tidak bersetuju dengan cara ini, saya mohon maaf dan minta cadangan dari segi penambahbaikan daripada anda.

Saya mengajar dengan cara lama iaitu menggunakan bahan bantu mengajar seperti kad-kad suku kata, permainan berunsur pendidikan, lembaran kerja serta sistem ‘tulis dan baca’.

Saya mempunyai murid LITERASI seramai 28 orang di mana sebahagian besar mereka menguasai kemahiran menyebut suku kata KV dan KVK dengan baik. Justeru, saya tidak mahu membuang masa dan tenaga dengan mengulang ajar kemahiran yang sama.

Saya masukkan penambahan suku kata KVK di belakang suku kata KV dan menjadi KV+KVK atau LIPAN, GAJAH, KETAM dan perkataan yang sepertinya.

Pertama sekali, murid diedarkan kad suku kata KV+KVK yang dibina secara satu-satu dengan dua warna yang berbeza. Contohnya, lipan, gajah dan ketam.

Murid mesti diberitahu konsep mengeja yang betul sebelum mereka belajar mengeja dan menyebut sesuatu perkataan. Dalam kemahiran ini, suku kata awalan menjadi perkara pertama yang perlu difahami oleh murid.

Contohnya, apabila murid mengeja perkataan lipan. Murid mengeja dengan memisahkan perkataan tersebut kepada dua suku kata. Suku kata yang pertama perlu diberi perhatian oleh murid kerana kebanyakan murid mudah lupa suku kata pertama tatkala mereka mengeja suku kata kedua.

Justeru, setelah mengeja suku kata kedua, pastikan murid memahami konseb sebutan suku kata yang pertama mesti didahulukan sebelum mereka menyebut suku kata kedua.

Kebanyakan murid yang tidak faham akan konsep mengeja akan menyebut perkataan lipan setelah dieja menjadi lapan. Justeru, latihan pengulangan diperlukan sehingga murid faham konsep mengeja dan menyebut perkataan.

Selesai mengeja menggunakan kad suku kata atau perkataan, bina satu jadual  perkataan KV+KVK di papan putih. Minta murid salin dan amalkan kaedah ‘sebut dan tulis’ supaya koordinasi mata, tangan dan minda murid berjalan serentak yakni menulis sambil berfikir.

Kemudian, edarkan lembaran kerja bagi menguji kefahaman murid tentang kemahiran yang telah dipelajari. Perlu diingatkan, lembaran kerja yang hendak diberi mestilah mengandungi latihan yang telah dipelajari murid. Jangan campur aduk latihan yang belum dipelajari kerana dikhuatiri akan mengelirukan murid.

Mempelbagaikan jenis latihan KV+KVK ini juga digalakkan sekiranya murid didapati sudah menguasai kemahiran ini dengan baik. Sekiranya murid sudah boleh menyebut tanpa perlu mengeja, maka guru boleh mengajar kemahiran membaca ayat  mengandungi perkataan KV+KVK kepada murid pula.

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Deparment

http://norhaidisarponen.webs.com

Ibu Bapa Tidak Patut Lepas Tangan

18 Julai 2010 1 komen

Salam sejahtera dan selamat berhujung minggu.

Lama saya tidak dapat mengemas laman ini. Bukan kerana ketandusan idea. Tetapi atas kesibukan tugas dan hal-hal peribadi yang lain. Kepada anda yang menghantar email untuk mendapatkan maklum balas saya, harap anda berpuas hati dengan penerangan yang saya berikan.

Jika masih ada kekurangan, sila hubungi saya semula. Terima kasih juga kepada pembeli-pembeli ebook. Semoga bahan yang anda perolehi akan memberi manfaat yang paling baik buat anda dan anak didik. Saya tidak sabar menantikan reaksi dan komen anda sebagai pembeli dan pengguna.

Baiklah, topik yang ingin saya sentuh pada kali ini adalah berkaitan dengan sikap ibu bapa yang begitu kurang menyenangkan saya. Maaf kerana dalam banyak-banyak topik, isu ibu bapa atau penjaga paling banyak dipaparkan.

Beberapa hari yang lalu, sekolah saya ada mengadakan Hari Bertemu Pelanggan. Saya sebagai guru kelas bagi murid-murid yang majoritinya terlalu lemah dalam pelajaran (ada yang langsung tidak tahu membaca walhal sekolah sudah berjalan selama tujuh bulan).

Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan kelemahan dan kekurangan murid kepada ibu bapa atau penjaga di samping berkongsi ramuan terbaik bersama ibu bapa / penjaga yang hadir, bagaimanakah formula paling berkesan untuk membantu murid-murid ini supaya berada di landasan terbaik dalam akademik sebaris dengan rakan-rakan seusia mereka.

Perbincangan dari hati ke hati, luahan jujur sebahagian ibu bapa / penjaga yang hadir saya catatkan dalam nota yang saya bawa untuk dijadikan rujukan kelak.

Agak sedih juga kerana tidak ramai ibu bapa yang hadir pada hari berkenaan. Barangkali kerana kesibukan bekerja. Saya tidak kisah jika ibu bapa atau penjaga datang lewat kerana saya menunggu di dalam kelas bersama murid sehingga petang.

Kasihan kepada murid-murid yang ibu bapanya tidak hadir. Dari kaca mata mereka, berasa gembira memberi tahu saya bahawa ibu bapa / penjaga mereka akan hadir. Tetapi, menunggu hingga ke petang, bayang pun tiada nampak. Yang hadir cuma sekerat dua. Tidak sampai separuh pun.

Jika terlalu sibuk sekali pun, takkanlah luangkan masa sekejap demi masa depan anak-anak pun tiada? Kasihan saya lihat anak-anak murid saya yang tidak mahu balik kerana mengatakan ‘sebentar lagi’ ibu bapanya akan datang. Saya pula yang terpaksa pujuk dan mengarahkan murid pulang.

Kepada ibu bapa yang hadir, saya ucapkan jutaan terima kasih. Walaupun ada yang datang sekadar mahu mengambil Buku Rekod Kemajuan anak, dan tidak mahu mendengar apa yang saya cuba sampaikan, cukuplah untuk saya membuat penilaian.

Kepada ibu bapa yang memberi kerjasama, saya juga ucapkan jutaan terima kasih. Kehadiran anda begitu berharga dan memberi saya lebih banyak peluang untuk mengenali latar belakang anak-anak anda. Insyaallah, kita sama-sama membantu. Yalah, mana ada ibu bapa atau guru yang ingin lihat anak murid gagal dalam pelajaran.

Selepas pertemuan pada Hari Bertemu Pelanggan itu, seorang penjaga datang berjumpa saya untuk bertanyakan prestasi akademik anaknya dan sekali gus ingin membayar yuran yang belum di jelaskan.

Saya bertanyakan anaknya kelas tahun berapa? Yalah, manalah tahu entah-entah penjaga berkenaan tersilap orang yang dicari. Penjaga itu membalas yang dia sendiri kurang pasti dan teragak-agak menyebut nama kelas anaknya.

Saya membuat semakan, memang betul anaknya belajar di kelas saya. Saya segera menunjukkan rekod kemajuan dan menjelaskan kelemahan yang perli diperbaiki serta kelebihan yang perlu dikekalkan. Saya turut memuji anak penjaga murid tersebut yang sememangnya rajin dalam kelas dan menunjukkan potensi untuk berjaya dengan syarat, bimbingan di sekolah mesti diteruskan di rumah.

Di akhir pertemuan tersebut :

Penjaga : “Macam ni sajalah, cikgu. Saya ni bekerja dan sangat-sangat sibuk sampai tak ada masa nak tengok anak. Cikgu tolonglah tengok-tengokkan anak saya tu. Kalau dia nakal sangat dan tak mau belajar, cikgu boleh pukul. Jangan sampai patah-patah sudah la..”

Saya : “Saya faham abang sibuk bekerja. Tapi sekurang-kurangnya luangkan sedikit saja masa untuk bersama anak belajar. Kesian sebab manalah tau budak tu nak belajar. Tapi tak ada orang yang nak tunjukkan. Kat sekolah dia ada cikgu. Tapi kat rumah??..”

Penjaga : “Yelah. Kita sama-sama tengokkan dia ya, cikgu. Saya memang tak sempat dah ni. Okeylah. Saya kena balik dulu. Harap cikgu bantulah anak saya tu ye. Anggaplah dia macam anak cikgu juga. Saya memang sibuk dengan kerja..”

Saya cuma diam dan menguntum sedikit senyuman. Pertemuan itu saya akhiri dengan berjabat tangan dan ucapkan ribuan terima kasih atas kesudiannya hadir untuk berjumpa saya.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Teacher’s Department

p/s  :

  • Ada banyak lagi dialog yang ingin saya selitkan. Tetapi tidak sanggup rasanya saya letakkan di sini.
  • Bukan semua ibu bapa yang bersikap lepas tangan. Teringat semasa zaman sekolah. Walaupun sakit dan terpaksa menoreh getah seawal 5 pagi, ayah tetap datang juga ke sekolah pada tengah hari untuk mendengar sendiri maklumat akademik dan potensi saya daripada guru kelas.