Arkib

Archive for Januari 2012

Apa Cerita Sebenarnya?

25 Januari 2012 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping dapat melaksanakan tugas harian dengan sempurna. Semoga apa jua yang anda lakukan ketika ini, diharapkan agar ianya dapat memberi manfaat kepada seluruh organisasi anda dan semua orang menyenanginya. Terima kasih atas kesudian anda melayari laman ini.

Rasanya masih belum terlambat untuk saya ucapkan selamat Tahun Baru Cina bagi pelayar yang berbangsa Cina dan menyambut perayaan ini. Semoga perayaan kali ini lebih meriah dan menyeronokkan.

Cuti empat hari, saya habiskan masa di kampung, Felda Lui Timor (Jempol). Habiskan masa dengan memancing baung, patin, kelah, lampam di sekitar sungai Pahang (maklumlah musim hujan lagi, air pun naik. Seronoklah memancing). Memancing pula dengan rakan-rakan sejawat yang bertugas di pelbagai negeri dan daerah.

Oleh kerana satu aliran (bidang pekerjaan), maka macam-macamlah cerita yang saya dengar dari sekolah mereka bertugas masing-masing. Dari perangai Guru Besar yang tidak semenggah, hinggalah ke peringkat bawahan. Rakan-rakan seangkatan merungut dengan sikap Guru Besar di sekolah masing-masing ada yang tidak tahu bertimbang rasa, tidak boleh bertolak ansur, hanya pandai cakap tetapi tak pernah turun padang serta pelbagai lagi.

Antara isu yang menarik perhatian adalah apabila ada rakan yang menyatakan di dalam mesyuarat pengurusan sekolah, Guru Besar mereka menyatakan bahawa peratus (%) pencapaian murid melambangkan hasil kerja guru. Jika peratus (%) murid meningkat atau naik, guru dianggap cemerlang dan telah melaksanakan tugasnya dengan sempurna.

Tetapi jika peratus (%) murid menurun atau merosot, guru dianggap pemalas atau tidak menjalankan tugas dengan sewajarnya. Dalam hal ini, rasa sakit hati dan marah pun ada bila dengar ada Guru Besar yang bercakap perkara sebegini dalam mesyuarat.

Ternyata Guru Besar sekolah berkenaan tidak pernah mengambil tahu masalah yang dihadapi oleh guru atau murid. Malah, bercakap sesuka hati tanpa mengambil kira sensetiviti guru lain.

Bayangkan guru yang mengajar di kelas belakang bertungkus lumus mengajar, namun sehingga hujung tahun, pencapaian murid masih berada di tahap yang rendah atas pelbagai faktor, itulah yang harus dikaji oleh Guru Besar dan bukan mencari salah guru.

Tidak wajar guru dihukum jika peratus (%) murid itu merosot kerana guru telah berusaha dan ikhtiar pelbagai kaedah. Guru Besar harus mengambil kira pelbagai faktor yang menjadi punca kemerosotan akademik pelajar dan memikirkan cara untuk mengatasinya. Ini tidak. Guru berkenaan juga yang diminta membuat post-mortem.

Ada juga rugutan dilempar oleh rakan-rakan senior yang mengatakan bahawa ada guru yang baru bertugas mula tunjuk lagak bagus dalam mesyuarat. Guru yang mengajar di kelas belakang dikatakan tidak tahu mengajar, tidak tahu buat kerja sehinggakan murid kini berada dalam darjah enam masih tidak tahu membaca. Guru berkenaan pula baru bertugas di sekolah sekitar dua hingga tiga tahun. Tidak tahu apa-apa mengenai murid dan latar belakang murid tetapi berani mengkritik dan mencari salah rakan sejawat yang lain. Bukan membantu mencari jalan penyelesaian, tetapi membangkitkan api kemarahan guru lain yang mendengarnya.

Kasihan, situasi di sekolah saya juga lebih kurang sama dengan rakan-rakan yang meluahkan perasaan. Tetapi cara kita hadapi tekanan tu biarlah betul. Tidak manis jika kita sama-sama mencari salah antara satu sama lain, tetapi masih tiada penyelesaian. Masing-masing sibuk menuduh dan mencari salah. Ibarat gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah.

Pihak yang melaksanakan peraturan juga tidak wajar meletakkan hukuman 100% ke atas guru yang mengajar kerana pihak pentadbiran juga perlu bertanggungjawab kerana mereka yang diberi mandat untuk mentadbir, merancang sistem pengurusan, menyusun program dan sebagainya. Kami guru biasa cuma MENURUT PERINTAH dan melaksanakan tugas dengan sebaiknya.

Kegagalan murid bukan bermakna seseorang guru itu boleh dianggap sebagai pemalas. Itu satu penghinaan bagi saya sebagai seorang guru. Janganlah guru sahaja yang dinilai prestasinya. Pihak pentadbir juga perlu dinilai, banyak pihak juga perlu dinilai dan dipantau.

Demi menjaga masa depan dan prestasi akademik di sekolah masing-masing, sama-samalah kita saling berganding bahu untuk menjana kecemerlangan. Usahlah mencari salah dan saling tuding menuding.

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Admin

Teacher’s Department

p/s :

  1. Ada cikgu tidak suka pegawai nazir turun memantau ke sekolah sedangkan itulah cara terbaik untuk memastikan tugas di sekolah dilaksanakan atau tidak
  2. Ada Guru Besar bimbang pegawai besar datang melawat ke sekolah cepat-cepat telefon guru-gurunya supaya bersedia.

Selamatkan Guru Ini

16 Januari 2012 8 comments

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab harian dengan sempurna. Terima kasih kerana anda masih sudi melayari laman ini. Hari ini saya hendak kongsikan kisah yang melanda seorang guru wanita yang tertekan diugut suami. Jika anda masih belum membacanya, saya kongsikan petikan dari sebuah akhbar tempatan. Sama-samalah kita renungkan situasi yang melanda guru wanita terbabit.

Guru Didera Suami Rayu Ditukarkan

2012/01/16

ALOR SETAR: Seorang guru sandaran yang mendakwa tidak tahan didera hampir setahun oleh suaminya, seorang penagih dadah, nekad melarikan diri dan memohon Kementerian Pelajaran meluluskan pertukarannya atas faktor keselamatan.  Siti Muniroh Mohd Shukri, 31, berkata selepas melarikan diri dari Lahad Datu, Sabah, bersama anak lelakinya yang berusia sembilan bulan pada 22 Julai tahun lalu, gajinya ditahan sehingga kini.

“Suami saya, Aldin Osdam, 31, yang terjebak dengan najis dadah pada 2010, sangat cemburu, mengurung dan memukul saya saban hari. Dia juga meminjam dengan Ah Long, mohon kad kredit dan beli kereta guna nama saya.

 “Apabila tidak jelaskan hutang, saya jadi mangsa, diterajang dan disepak hampir setahun,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di rumah bapanya di sini hari ini.

Siti Muniroh nekad melarikan selepas berbincang dengan Guru Besar Sekolah Rendah St Dominic di Lahat Datu, tempat beliau bertugas, manakala ibu mertuanya membelikan tiket penerbangan ke Alor Setar. Sebelum melarikan diri, beliau membuat laporan polis di Lahat Datu sebanyak dua kali selain ke Mahkamah Syariah untuk menuntut cerai.

Siti Muniroh berkata, Aldin yang dipenjara tiga bulan di Lahat Datu kerana kesalahan dadah akan dibebaskan 18 Januari ini dan sudah menghubunginya tiga hari lalu serta mengugut hendak ‘menyembelih’ beliau jika terjumpa di Sabah. Beliau berkata, laporan mengenai ugutan itu telah dibuat di Balai Polis Alor Setar.

“Atas faktor keselamatan diri untuk kembali bertugas di Lahat Datu, saya memohon pihak berkenaan di Kementerian atau Jabatan Pelajaran menimbang kes saya dengan wajar.

“Sahabat bapa saya, Redzuan Ishak sudah tiga kali membawa saya dan bapa ke Kementerian Pelajaran di Putrajaya menemui pegawai bahagian pertukaran” katanya.

Siti Muniroh juga membuat permohonan secara dalam talian kepada Guru Besar dan Jabatan Pendidikan Sabah selain bertemu pegawai Jabatan Pendidikan Kedah serta kaunselor. Sehubungan itu, beliau merayu masalah tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin kerana statusnya sebagai guru sandaran terlatih dan belum disahkan jawatan. – sumber BERNAMA

Masalah 3M Berleluasa, Apa Tindakan Sewajarnya?

11 Januari 2012 13 comments

Salam sejahtera,

Masih ada ruang untuk saya mengucapkan selamat tahun baru 2012 kepada anda, pelawat-pelawat laman ini. Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat sejahtera dan ceria hendaknya. Tahun 2011 sudah meninggalkan kita. Kini datangnya sesi 2012 yang diharapkan akan membawa kita kea rah sebuah kehidupan yang lebih baik dan bermakna. Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan kepada anda yang masih sudi melayari laman ini.

Baiklah, saya hendak mulakan topik perbincangan sesi 2012 ini dengan masalah 3M yang sejak sekian lama menghantui sistem pendidikan di negara kita. Memang sejak dulu lagi, masalah penguasaan 3M seringkali dibangkitkan dalam mana-mana mesyuarat pengurusan sekolah (bagi sekolah yang prihatin terhadap masalah ini).

Tahun baru menjelma, pendaftaran tahun satu sesi 2012 kali ini nampak meriah di sekolah saya. Bermacam-macam ragam murid tahun satu dapat dilihat. Saya percaya juga, di sekolah-sekolah lain situasinya lebih kurang. Ada yang seronok, ada yang teruja hendak ke sekolah, ada yang menangis, ada yang tidak boleh berpisah dengan ibu bapa atau penjaga dan macam-macam ragam.

gambar hiasan

gambar hiasan

Masalah ini sudah acap kali kita lihat saban tahun. Masalah yang paling ketara adalah dari segi penguasaan 3M yang sejak dari dulu lagi masih gagal diatasi. Sebahagian besar murid didapati hadapi masalah dalam menulis perkataan, menulis di atas garisan, cara pegang pensel yang tidak betul, lambat koordinasi tangan untuk menulis atau menyalin sesuatu dari papan putih.

Bukan saya berbicara bermakna saya mahukan murid tahun satu 100% sempurna dari segala aspek. Saya faham setiap individu itu berbeza potensinya. Tetapi ia boleh diasah dari awal kanak-kanak bukan? Bayangkan dari usia kecil sehinggalah usia 17 tahun, berapa lama murid habiskan masa di rumah dan di sekolah tetapi masih tidak tahu membaca atau menulis? Di mana silapnya? siapa yang hendak mengaku kesalahan itu?

Di peringakt sekolah rendah, beratus ribu murid dikesan masih lemah dalam penguasaan 3M ini. Bagaimana pula di peringkat menengah? Apa pula akan terjadi kepada ratusan ribu dalam kalangan mereka yang tidak tahu membaca ini kelak? Ke mana hala tuju mereka?

Sewajarnya mereka ini dididik sejak dari kecil. Bukan didikan dari segi ilmu menulis sahaja, disiplin, nilai murni, dan pelbagai lagi. Kini, sudah tiba masanya kerajaan perlu memikirkan adakah wajar jika kanak-kanak berusia 4-5 tahun sudah wajar menerima pendidikan awal di pra sekolah atau mana-mana pusat perkembangan pendidikan kanak-kanak. Atau ibu bapa diwajibkan memastikan anak-anak mereka yang berusia 7 tahun sudah mengetahui asas menulis, membaca suku kata atau mengenal abjad.

Tidak ramai yang peka dengan keadaan ini. Majoriti murid yang disiasat mengalami kegagalan menulis dan membaca adalah dalam kalangan mereka yang tidak menerima pendidikan awal kanak-kanak, tiada asas didikan di rumah. Tidak dapat dipastikan apakah alasan utama mereka tidak diberi pendidikan awal. Sebab itulah merjoriti murid tidak bersedia ke sekolah.

Di sekolah sudah ada silibus yang telah ditetapkan oleh kementerian pelajaran. Jika murid pula tidak tahu membaca atau menulis, silibus terpaksa ditinggalkan dan kembali kepada sistem LINUS atau PEMULIHAN atau PROTIM. Sedangkan sistem pendidikan di negara ini berorientasikan peperiksaan. Mana satu yang perlu kita dahulukan?

Jika mengabaikan silibus, pelajar akan tercicir dalam peperiksaan. Jika tidak mengajar pelajar membaca, tindakan guru akan dipersoal pegawai atasan kerana tidak membuat tindakan susulan. Kasihan. Dalam hal ini, sama-samalah ibu bapa dan guru memainkan peranan. Hal ini sentiasa berlaku, tetapi dimana kesilapan yang sepatutnya kita betulkan? Sistem pendidikan di rumah? sistem pendidikan di sekolah? kurikulum standard? atau yang macam mana lagi? Renung-renungkanlah.

sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN
Teacher’s Department

Penyelaras Transisi dan Guru Penyayang 2012

Mantan Guru Pemulihan

Mantan Penyelaras LINUS