Utama > Pend.Pemulihan > “..Kasihan, Aina..”

“..Kasihan, Aina..”

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga mahu pun insan tersayang. Di mana jua anda berada ketika ini, saya doakan semoga hari ini adalah hari yang boleh mendatangkan sejuta keceriaan kepada anda. Di mana jua anda berada ketika ini, terima kasih kerana anda sudi melayari laman ini.

Hari ini saya hendak kongsikan kisah salah seorang anak murid saya di tahun satu. Murid ini murid perempuan, ketinggian kurang dari 110 cm, pakaiannya agak kurang kemas apabila ke sekolah dan manja orangnya.

Apabila saya masuk ke kelas, saya akan disambutnya bersama dengan beberapa rakan-rakannya yang lain. Apabila mengajar, murid ini akan memberikan perhatian yang sepenuhnya. Pada mulanya, saya fikir tentu murid ini faham apa yang saya cuba ajarkan. Tapi sangkaan saya meleset.

Kali pertama mendengar murid ini bersuara, saya sudah tahu murid ini bermasalah. Mana tidaknya, sebutannya yang pelat. Cara bercakap tidak seperti kanak-kanak berusia tujuh tahun. Cara menulisnya pula tidak sekata, banyak huruf terbalik, tulisan yang tidak jelas, menulis di atas, tengah-tengah dan bawah garisan..

Apabila dibuli rakan-rakan, murid ini tidak tahu bagaimana hendak memarahi rakan yang membulinya. Baginya itu semua adalah gurauan, suka-suka dan cara bermain.

Saya akui tidak pernah memarahi atau mendenda murid ini berbanding rakan sebayanya yang lain. Bagi saya murid ini istimewa. Enam bulan lamanya saya mengajar murid ini mengenal abjad masih tidak berjaya. Ingatannya singkat. Kerap lupa. Selama itulah saya mengajar murid ini menulis, tetapi masih tiada peningkatan dari segi susunan perkataan dan gaya tulisan.

Saya pernah berjumpa dengan abangnya yang belajar di tahun empat. Tetapi sekadar perbualan rambang. Apalah sangat informasi tentang murid ini yang saya boleh dapat dari abangnya yang berusia 10 tahun??

Beberapa kali saya menggunakan si abang ini untuk memujuk ibu bapa mereka hadir ke sekolah berjumpa dengan saya untuk membincangkan masalah berkaitan anak mereka. Malangnya alasan sibuk ‘mengejar duit’ dijadikan faktor tidak dapat hadirkan diri.

Saya bersimpati dengan murid perempuan ini. Tak mengapalah. Selagi berdaya, saya akan usaha yang terbaik setidak-tidaknya untuk masa depan murid ini juga. Kasihan..

Sekian,

NORHAIDI BIN HJ.SARPONEN

Admin

Teacher’s Department

Kategori:Pend.Pemulihan
  1. Nuraihan Hamsiah
    30 Jun 2012 at 4:24 PM

    Salam cikgu. Saya seorang ibu anak autisme berumur 7 tahun. Alhamdulillah anak saya sudah berjaya menguasai abjad dan nombor, walaupun agak terhad dan ada yg salah-salah. Walaupun begitu anak saya masih belum dapat memahami konsep mengeja, sebaliknya dia hanya menghafal. Kalau cikgu dapat beritahu saya bagaimana cara cikgu mengajar Aina, mungkin saya dapat beri sedikit idea bagaima saya mengajar anak saya menulis. Salam

    • 2 Julai 2012 at 2:34 AM

      Salam, pertama sekali..tahniah puan mempunyai anak yang sungguh istimewa..berdasarkan anugerah yang puan miliki, anak puan sudah berjaya menguasai abjad dan nombor walaupun masih ada kelemahan. Itu kita semua kena faham. Mental anak-anak seperti itu bukan seperti mental kanak-kanak normal yang lain.

      Untuk makluman puan, saya memerlukan masa yang agak lama dan kesabaran yang tinggi untuk membentuk cara belajar Aina. Mengajar memegang pensel sahaja memakan masa sebulan lebih. Itu belum mengajarnya menulis, mengenal dan mengecam abjad.

      Untuk mengajar anak puan konsep mengeja, terlebih dahulu puan perlu pastikan anak puan mengetahui sekurang-kurangnya asas huruf vokal. Maknanya di sini, anak puan tahu membunyikan kelima-lima huruf vokal.

      Konsep mengeja adalah membunyikan suku kata hasil daripada gabungan huruf konsonan dan huruf vokal sama ada dalam bentuk suku kata terbuka atau tertutup. Jika anak puan dapat memahami asas ini. Perjalanan ke peringkat seterusnya akan menjadi lebih mudah.

      Semoga berjaya..saya kagum dengan usaha puan..

  2. yatea
    31 Julai 2012 at 3:54 PM

    assalam cikgu haidi..
    maknanya Aina ni murid linus tegar la kn cegu. so, cegu x bercadang buat pemeriksaan perubatan utk Aina? Sy juga risaukan murid sy yg sorang tu. boleh sebut nama nombor tp bila scr rawak gagal menyebut dgn betul, dgn yakin dia menyebut nombor sesuka hati dia shj. Pernah murid ni kira benda dengan betul tetapi nombor yg ditulis (jawapannya) R bukannya 6. dan dgn yakin lg dia menyatakan..”ya inilah 6 cegu” 🙂 aduhai sayang..

    pada awal kemasukan ke kelas permata (pemulihan Khas), saya ada tanya kesemua murid “apa cita2 kamu, bila besar mau jadi apa?”. murid yg sy risaukan ini menjawab “mau jd tomen”. pada mulanya saya x faham tetapi kwn2nya yg lain memberi respon “kita mana boleh jd ultraman.” baru la sy faham..(dlm hati.. Ni kali lah.. dpt murid mcmni) namun guru penyayang tetap optimis..hehe

    manakala untuk literasi.. kdgkala dapat mengingat semua huruf dgn betul scr tertib dn rawak, kdgkala tidak. apabila diberi latihan, mulut murid ini tidak akan berhenti bertanya.. “cegu, macam mana buat?”, “cegu begini?”, “cegu, ini betul?” “yg ini…” adoii..kesabaranku tergugat..
    dapat mengeja perkataan KVKV, VKV dlm pnp sahaja. diwaktu lain, murid ini gagal mengeja.
    sy tidak bercadang membuat pemeriksaan perubatan memandangkn murid ini masih di tahun 1. Namun pagi tadi sy mendapat makluman drpd klinik agar merujuk murid ini ke klinik kesihatan ibu dan anak. hairan juga sbb pihak sekolah tidak pula membuat permohonan pemeriksaan. Rupa2nya, pegawai kesihatan telah mengenalpasti murid ini sewaktu mereka melakukan pemeriksaan kesihatan murid2 pada awal tahun. Syabas dan Tahniah kpd pegawai kesihatan yang prihatin.

    Saya harap murid cikgu nama Aina tu akan mendapat perhatian daripada jab.kesihatan sewaktu mereka membuat pemeriksaan kesihatan awal tahun tu ye.. bersabar lah berdepan dgn Aina n doakan anak2 murid agar mudah belajar.. 🙂

    • 2 Ogos 2012 at 12:54 AM

      Salam,

      Saya telah berjumpa sendiri dengan penjaga murid ini dan mengesyorkan agar Aina dirujuk kepada pakar. Si penjaga sekadar mengiakan sahaja. Tetapi tiada tindakan susulan. Hampir tiga bulan lamanya saya mengajar Aina hanya untuk mengenal huruf vokal sahaja. Kemahiran menulisnya sangat teruk, murid ini memang pelat, manja dan dalam bergurau dia tidak sedar sebenarnya dia menjadi mangsa buli rakan-rakan sebaya.

      Saya kasihan juga dengan si Aina ini. Lagi pun saya sedia maklum tentang kehadiran pegawai kesihatan. Saya sendiri telah memaklumkan perkara ini semasa pemantauan kesihatan dijalankan. Namun, seolah-olah mencurah air ke daun keladi.

      Saya dah beri jalan, saya dah bantu semampu yang boleh. selebihnya terpulang kepada si penjaga sama ada hendak mengambil tindakan atau tidak. Saya telah menasihati si penjaga supaya mengambil tindakan segera sebelum terlambat.

  1. 30 Januari 2016 at 3:28 AM

Tinggalkan komen