Arkib

Archive for 22 Mac 2011

NKRA Luar Bandar Capai Sasaran

22 Mac 2011 4 comments

KUALA LUMPUR 21 Mac – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah membina 751.9 kilometer jalan luar bandar yang memberi manfaat kepada 500,000 penduduk melalui projek Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sehingga 31 Disember lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sebanyak 70,181 buah rumah pula telah menerima bekalan air melalui projek penyaluran Bekalan Air Luar Bandar, manakala 25,312 rumah lagi disalurkan bekalan elektrik melalui liputan Bekalan Elektrik Luar Bandar dalam tempoh sama.

“Sebanyak 16,626 buah rumah juga telah disediakan kepada penduduk luar bandar melalui Program Bantuan Rumah yang dilaksanakan melalui sasaran NKRA,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pembangunan Daerah 2011 di sini, hari ini.

Mohd. Shafie berkata, walaupun pelaksanaan NKRA pada tahun lalu menunjukkan pencapaian memberangsangkan, namun pihaknya tidak boleh mengambil mudah keadaan dan keperluan rakyat luar bandar.

Katanya, kementerian amat memerlukan kerjasama erat daripada pejabat dan pegawai daerah di seluruh negara untuk turun padang bagi menyediakan data serta maklumat yang lebih lengkap dan menyeluruh mengenai keperluan penduduk di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, kerjasama itu amat penting bagi memastikan segala projek dan perancangan di bawah NKRA yang disasarkan kepada kementerian itu dapat terus dilaksanakan dengan lancar.

“Pelbagai masalah yang dihadapi di kawasan luar bandar bukan hanya perlu didengar dan dikenali semata-mata tetapi ia perlu diatasi secepat mungkin. Oleh itu peranan pegawai daerah amat penting bagi membantu kementerian,” katanya.

Beliau berkata, dengan bantuan dan kerjasama pegawai daerah, kementerian akan berupaya memperolehi pangkalan data yang kuat dan jelas mengenai apa yang berlaku di kalangan masyarakat luar bandar.

“Jika kita gagal maka apa yang kita lakukan, segala usaha dibuat tidak akan selari dengan apa yang kita rancang. Oleh itu pegawai daerah perlu menyelami betapa pentingnya untuk turun padang, melawat kampung dan mendampingi rakyat serta tahu apa yang diperlukan mereka,” katanya.

Sumber : www.utusan.com.my

Kategori:Berita Tag: