Arkib

Archive for 4 Februari 2010

Murid Pemulihan vs Murid Pendidikan Khas

4 Februari 2010 1 komen

Salam sejahtera,

Semoga anda berada dalam keadaan yang sihat sentiasa dan ceria di samping dapat melakukan tugas harian dengan sempurna. Saya pula baru keluar hospital dan masih dalam keadaan yang kurang cergas berikutan demam denggi. Memang tidak seronok rupanya apabila terpaksa baring di katil pesakit selama seminggu. Sakit badan akibat terlalu lama baring. Urat di tangan juga sudah mulai membengkak akibat kesan cucukan jarum tatkala juru rawat berusaha memasukkan air dalam badan sejumlah 13 botol kesemuanya.

Saya sememangnya masih tidak sembuh sepenuhnya. Namun, kerana bimbangkan anak murid di kelas belakang yang sentiasa ketinggalan, saya gagahkan diri melawan penyakit agar segera sembuh. Hari ini, saya ke sekolah dalam keadaan masih lemah dan ‘mamai’.

Berbalik kepada topik asal yang ingin saya sampaikan pada kali ini. Semasa berada di wad hospital, saya telah berbual-bual dengan beberapa orang penjaga yang menceritakan masalah pelajaran anak masing-masing.

Situasi 1 :

Seorang penjaga mengeluh yang anaknya sehingga darjah 5 masih tidak tahu membaca atau menulis. Kata si ibu, anaknya akan pandai sekiranya diajar. Tetapi, kerana kedegilannya dan tiada siapa yang mahu mengajar, anak tersebut terbiar hinggalah ke darjah lima. Si ibu lebih bimbang kerana pada tahun hadapan, si anak akan menduduki peperiksaan UPSR.

Situasi 2 :

Puan Aminah (bukan nama sebenar) mengeluh kerana sejak lahir anaknya tidak pernah menangis. Semasa anaknya berusia enam bulan, bayi itu telah terkena jangkitan iaitu demam panas dan lewat dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Akibatnya, anak itu tidak boleh bertutur dengan baik walaupun usianya kini telah mencecah 9 tahun.

Kerana bimbangkan masa depan anaknya, Puan Aminah menghantar anak itu ke hospital pakar. Beberapa ujian yang dijalankan mengesahkan IQ kanak-kanak itu berada di bawah 70. Doktor mengesahkan kanak-kanak itu sebagai ‘slow learner’.

Salah satu ujian yang dijalankan ke atas anak Puan Aminah : –

  • Doktor memberikan anak tersebut sebatang pensel.
  • Doktor menyoal anak tersebut apakah benda yang sedang dipegangnya.
  • Anak tersebut menjawab “ini pensel..”
  • Doktor tanya kembali soalan lain yang berbunyi “tahukah kamu apakah kegunaan pensel?..”
  • Anak itu menjawab “tak tahu..”
  • Doktor tunjukkan sekeping gambar komputer kepada anak itu.
  • Doktor tanya “gambar apakah ini?..”
  • Anak itu menjawab “komputer..”
  • Doktor tanya lagi soalan lain yang berbunyi “tahukah kamu apakah fungsi komputer?..”
  • Anak itu jawab “tak tahu..”
  • Doktor tunjukkan seutas jam tangan untuk murid sentuh.
  • Doktor tanya anak itu “apakah ini?..”
  • Anak itu menjawab “jam..”
  • Doktor tanya lagi “apakah kegunaan jam?..”
  • Anak itu menjawab “tak tahu..”

Kedua-dua situasi di atas menunjukkan perbezaan ciri antara seseorang murid pemulihan dan kanak-kanak khas (istimewa). Murid pemulihan adalah murid yang normal, cuma mengalami kegagalan dalam akademik akibat faktor-faktor persekitaran dan dalaman murid.

Berbanding dengan murid pendidikan khas, mereka di pecahkan kepada tiga kategori yang utama iaitu :

  1. Pekak Bisu
  2. Masalah pembelajaran
  3. Buta

Ada juga beberapa kategori lain murid pendidikan khas yang tidak dinyatakan di atas. Kesimpulannya, walau apa jua masalah murid, guru perlu segera mengenal pasti punca dan cara ‘rawatannya’. Ada sesetengah murid dilihat ‘normal’, tetapi setelah menjalani pemeriksaan kesihatan, doktor mengesahkannya sebagai ‘hiperaktif’ atau ‘slow learner’. Laporan kesihatan daripada doktor amat perlu bagi mengelakkan murid ‘salah tempat’ untuk menerima pelajaran yang sewajarnya.

Sekian,

NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN

Teacher’s Department